welcome back

welcome back

Friday 27 December 2013

REDHA KAH AKU?

R.E.D.H.A.. Mungkin perkataan ini hanya boleh diterima dan difahami apabila orang itu sendiri mengalami situasi itu sendiri..kan? kenapa saya cakap macamtu? sebab kadangkala orang lain boleh je cakap.."REDHA JELAH.." tp mungin kite boleh mengangguk sekadar untuk mengiyakan kata-katanya. tapi dalam hati.."dia boleh la cakap camtu sebab tak kena batang hidung dia" kan??..


Ini boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku pada fatinah pada petang tadi...hmmm...



     Disuatu petang yang hening.. Fatinah dengan penuh kegembiraan membawa sebungkus beg plastik yang mengandungi 4 keping roti canai..Kononnya untuk dikongsi bersama kawan2 dibilik.Tetapi hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui segala-galanya..



Dengan tidak disangka-sangka ketika kaki menjejak anak tangga yang terakhir..ketibaan sang monyet memeranjatkan aku dan sahabatku yang turut bersama merasa lelah mendaki bukit Kolej Ibu Zain..beberapa ekor monyet terus memerhati bungkusan yang kubawa dengan pandangan yang amat menggerunkan..mungkin niat monyet itu ingin merampas bungkusan makanan ku.Lantas dengan kudrat dan  daya yang berbaki setelah mendaki bukit ku gagahkan jua diriku untuk berlari. Namun mungkin bukan rezekiku pada hari ini, bungkusan roti canai yang ku jinjit telah jatuh ketanah sewaktu ku cuba untuk melarikan diri. Kewarasan diri hanya memikirkan cara untuk meloloskan diri daripada sang monyet



Setelah beberapa minit aku datang semula ketempat kejadian, dan kulihat monyet2 sedang menikmati roti canai panas yang ku bawa tadi..tiba-tiba hatiku diserbu rasa sedih kerana roti canai yang pada mulanya untuk makan petangku telah menjadi rezki monyet. Aku mula memujuk diriku untuk meredhainya tetapi aku terngiang-ngiang apa yang berlaku..Terasa ingin tertawa mengenangkan peristiwa tadi..



      Sehinggalah aku dan sahabatku makan malam hanya dengan kuey tiow tomyam.Apabila selesai makan barulah kukenang semula kejadian tadi.. mungkin jika aku masih ada roti canai mungkin akan berlaku pembaziran kerana sewaktu aku membawa roti canai, dalam masa yang sama sahabatku juga membeli kuey tiaw..Mungkin roti canai itu akan terbuang begitu sahaja..Sebenarnya aku masih tidak redha roti canaiku dimakan monyet sewaktu kejadian iu berlaku, namun bila ku kenang akan berlakunya pembaziran barulah ku sedar bahawa ianya adalah rezeki sang monyet yang mungkin kelaparan sejak beberapa hari.Ada hikmahnya.Aku redha dengan ketentuannya.



Maka dapat disimpulkan bahawa setiap rezeki itu kita harus berkongsi dan setiap keredhaan itu akan difahami oleh seseorang yang benar2 sedang diuji..Wallahualam.Jumpa lagi di lain kalam..Assalamualaikum

Sunday 1 December 2013

Artikel ini saya ambil dari sebuah blog islamik
begini alkisahnya..sangat menarik perhatian dan memberi pengajaran..





Bukan Mudah Memutuskan Hubungan Tetapi Kuatlah Kerana Allah


hubungan
hubungan yang sukar dipisahkan | Time to let go. by incredi
Kalau lah diikutkan hati remaja ku ini, memang aku tak sanggup nak memutuskan hubungan yang sudah memakan masa dua tahun ini.
Tapi disebalik rasa itu, aku percaya Allah sudah tentukan yang terbaik untuk ku walaupun bukan sekarang tetapi In Sha Allah di akhirat sana.
Perempuan, sungguh hatinya sangat nipis tak seperti kebanyakan lelaki.
Pertengahan  tahun 2009, dengan takdirNya aku mengenali seseorang. Perkenalan kami mungkin seperti kebanyakan remaja lain juga. Kami mula kenal dari satu insiden di mana salah seorang dari kawan kami telah memberi nombor telefonku kepadanya.
Jadi dipendekkan cerita, kami mula rapat dan mengenali isi hati masing-masing melalui sms sahaja.
Tidak pernah pun melihat paras rupa. Hanya kata-kata sms dan juga suara dari telefon. Itupun kadang-kadang sahaja.
Dari hari ke hari kami mula rasa persahabatan itu sudah bertambah erat. Malah katanya, hubungan kami sudah seperti lebih dari teman tapi mesra. Apa tidaknya, setiap hari kalau boleh kami sentiasa mengirim sms.
Sehinggalah, aku diizinkan memasuki salah satu pusat matrikulasi.
Dia? Dia melanjutkan pelajaran peringkat asasi di salah satu universiti terkemuka di Malaysia. Namun begitu, hubungan kami masih seperti dahulu, malah aku rasakan makin erat.
Entah. Susah untuk aku rungkaikan kenapa.
Setelah berfikir dengan akalku yang hanya berusia lapan belas tahun ketika itu, aku mengambil keputusan untuk menjarakkan sedikit hubungan kami.
Caranya, aku menetapkan hanya hujung minggu kami dibenarkan ber’sms’.
Walau sangat berat hatinya, tetapi dia tetap menerima. Namun entah mengapa, hatiku sendiri tidak betah dengan tindakanku sendiri. Jadi kami terus ber’sms’ setiap hari seperti kebiasaannya.

Mengapa aku memutuskan hubungan?

Sehinggalah satu hari, ketika di makmal komputer dimana sedang aku melayari satu laman web berunsur islamik, aku menemui sesuatu. Sesuatu yang membuat aku membuka mata dan hati aku seluas-luasnya sampailah hari ini.
Satu artikel benar-benar menarik perhatian aku. Artikel tentang cinta remaja yang aku baca itu sangat berkait rapat dengan hubungan aku dengan si dia.
Malah sangat-sangat refleks kepada hubungan kami. Penulis artikel itu membicarakan bagaimana cinta yang dia dan pasangannya jaga selama ini sebenarnya satu cinta yang haram.
Seperti penulis itu, kami juga akan sentiasa mengejutkan antara satu sama lain untuk menunaikan solat subuh. Malah sentiasa memberi kata-kata semangat dan nasihat jika ada di antara kami yang lemah tersungkur dalam pelajaran.
Kami juga beranggapan bahawa hubungan kami selama ini adalah sebagai hubungan percintaan yang islamik!
Ok, mungkin bukan hubungan cinta kerana aku tidak pernah menyatakan perasaan cinta aku padanya.
Malah satu ayat cinta pun tidak pernah keluar dari mulutku walau berkali-kali dia menyatakannya padaku. Aku masih pada pendirian aku, iaitu tidak akan bercinta dengan sesiapa sebelum aku berkahwin. Apa yang aku nak, biarlah aku bercinta dengan suamiku sahaja.
Bercerita tentang hubungan cinta yang islamik, kami betul-betul berusaha ke arah itu. Sungguh melucukan apabila aku mengingati semua itu. Berjanji setia tidak akan ber’sms’ kosong. Berjanji untuk saling mengingati tentang hal-hal berkaitan Islam.
Bila difikirkan balik, itu semua alasan kami untuk terus ber’sms’ setiap hari. Cuma diselitkan dengan hal-hal agama. Sungguh memalukan mempergunakan Islam untuk kepentingan sendiri.
Namun setelah aku membaca artikel di laman web itu, aku mula sedar selama ini hubungan yang kami katakan halal itu sebenarnya haram.

Bagaimana pula ia menjadi haram?

Aku hairan namun setelah mendapat pencerahan dari artikel itu, aku yakin aku tidak salah.
Haramnya hubungan kami apabila adanya rindu pada si dia. Setiap kali aku membayangkannya, setiap kali itulah dosa kecil ku bertambah.
Malah rasa rindu itu juga dikatakan salah satu zina hati.
Apabila zina hati dibiarkan merebak, ia akan berterusan menjadi zina yang maha dahsyat lagi. Ya Allah, macam mana aku tidak mengetahuinya sebelum ini.
Pada masa itu, aku betul-betul keliru. Apakah benar semua ini?
Kerana aku tidak pernah mendengar perkataan zina hati semasa aku di sekolah dulu-dulu. Selepas beberapa masa aku tenangkan fikiran, aku mengambil langkah untuk memutuskan hubungan yang ada antara aku dengan si dia.
Sudah tentu, siapalah yang hendak tanggung dosa-dosa kecil sehingga menjadi dosa besar sedangkan dosa-dosa sebelum ini sudah banyak yang bapaku perlu tanggung.
Tapi bagaimana?
Bagaimana untuk aku menyatakan hasratku ini padanya.
Aku cukup yakin yang si dia susah untuk menerimanya malah menolak untuk memutuskan hubungan ini. Ya, ternyata benar sangkaanku.
Disebabkan aku tidak mahu memberi sebab yang sah kenapa aku hendak memutuskan hubungan kami, ia menjadi bertambah sukar untuk aku tinggalkannya.
Mungkin juga, hubungan kami yang sudah terlalu lama ketika itu menyukarkan aku untuk meninggalkannya.
Dengan berat hati, aku meneruskan jua hubungan terlarang itu. Dalam rasa bersalah, aku berusaha untuk tidak menyakiti hatinya.
Kerana bagi aku, tidak patut aku membuat si dia bersedih. Hari demi hari yang aku lalui selepas mendapat tahu bahawa hubungan kami itu sebenarnya haram, aku rasakan semuanya tidak kena.

Rasa bersalah kerana memutuskan hubungan

Rasa senang bersamanya selama ini sudah semakin pudar. Mungkin kerana rasa bersalah ini menebal. Pernah juga aku cuba meninggalkannya tanpa sebab, tanpa sms tapi tidak lama.
Rasa bersalah aku dengan hubungan terlarang itu tidak cukup untuk aku menghapus rasa bersalahku pada si dia.
Mungkin si dia terlalu baik untuk aku sakiti. Aku takut jika aku meninggalkannya, si dia akan bertindak di luar batas. Tambah satu lagi dosa aku dengan memudaratkan orang.
Setahun kemudian, setelah aku layak memasuki universiti, aku mula memikirkan satu idea yang aku kira sangat ideal untuk aku meninggalkannya.
Aku membohonginya yang aku tidak layak ke universiti dan bersedia untuk memulakan kerja-kerja yang biasa sahaja.
 Sangkaanku si dia akan meninggalkanku kerana aku sudah tidak setaraf dengannya. Namun semua usaha aku itu sia-sia. Si dia tetap bersama denganku untuk memberi kata-kata semangat seperti sebelumnya.
Si dia terlalu baik. Sangat baik.

Ya Allah, jadi bagaimana untuk aku lari dari semua ini?

Selepas beberapa ketika, aku memberitahunya perkara sebenar yang hakikatnya aku sedang menyambung pelajaran di salah satu universiti di timur Semenanjung.
Si dia tersangat marah dan kecewa denganku.
Tetapi, marahnya bukan kerana aku menipunya tetapi marah kerana si dia tahu niat aku untuk meninggalkannya. Mungkin ini masanya untuk aku kembali kepadanya dan bahagiakannya. Itu fikirku.
Namun, aku seolah-olah tidak senang dengan semua ini.
Aku rasakan setiap hari dan masa yang aku lalui dengannya itu sia-sia. Bagaimana ianya sia-sia sedangkan niat aku hanyalah untuk membahagiakannya?
Ini semua kerana dosa-dosa yang lahir dari hubungan kami.
Mungkin dosanya tidak kelihatan kerana kami tidak pernah bertemu malah tidak pernah pun bersua muka. Namun, aku tahu setiap kata-kata sayangnya padaku itu dosa yang tidak pernah aku nilai.
Puas sudah aku mengangkat tangan berdoa pada Yang Esa supaya dibukakan hati si dia untuk menerima keputusan aku itu dan memudahkan setiap jalan aku untuk meninggalkannya.
Namun, Allah masih menguji aku dengan sikap si dia yang keberatan untuk memutuskan hubungan kami.
Terkadang aku fikir, mungkin si dia adalah jodoh sebenar aku. Jadi sebab itulah, Allah masih mahu kami sentiasa berhubung. Entahlah. Jodoh dan semuanya datang dari Allah. Aku masih ragu-ragu tentang itu.

Bukan mudah melupakan, tetapi kuatlah kerana Allah

Hinggalah awal tahun 2011, aku dipinjamkan kekuatan oleh Allah untuk betul-betul melepaskan  si dia. Aku juga hairan kenapa pada saat itu hati aku seperti ikhlas merelakan hubungan yang sudah lama ini terputus.
Mungkin Allah telah mendengar doa-doa ku sebelum ini. Alhamdulillah Ya Allah. Walaupun masih teringatkannya, namun aku percaya Allah sentiasa memegang hati ku erat.
Bukan mudah bagi seseorang perempuan untuk meninggalkan seseorang yang sudah menjadi sebahagian dari hidupnya. Sungguh bukan mudah!
Aku sendiri sudah beberapa kali mahu melepaskan si dia namun hati ini masih belum kuat. Alhamdulillah berkat doaku untuk kembali mencintai apa yang aku patut cintaiselama hampir dua tahun itu termakbul juga.
Alhamdulillah

Sunday 20 October 2013

Tokoh Falsafah Rene Descartes

1.1      



PENDAHULUAN

Falsafah Barat ialah ilmu yang biasa dipelajari secara akademik di universiti-universiti di Eropah dan daerah-daerah jajahan mereka. Falsafah ini berkembang dari tradisi falsafah orang Yunani kuno.
Menurut Takwim (2001) dalam pemikiran barat konvensional, pemikiran yang sistematik, radikal, dan kritis merujuk pengertian yang ketat dan harus mempunyai kebenaran logik. Misalnya aliran empirisme, positivisme, dan falsafah memberi idea bahawa pemikiran dianggap falsafah jika terdapat kebenaran yang korespondensi dan koherensi.
Korespondensi ialah pengetahuan dinilai benar jika pernyataan itu sesuai dengan kenyataan empiris. Contohnya, jika pernyataan “saat ini hujan turun” adalah benar sekiranya pancaindera kita lihat hujan itu turun manakala sekiranya kenyataannya tidak, maka pernyataannya juga salah. Koherensi pula bermaksud sebuah pernyataan dinilai benar jika pernyataan itu mengandungi koherensi logik (dapat diuji dengan logik barat).
Falsafah Barat terbahagi kepada tiga bahagian: (a) falsafah yang mengkaji tentang adanya alam semulajadi; (b) bidang falsafah yang mengkaji tentang pengetahuan; dan (c) falsafah yang mengkaji nilai-nilai yang menentukan perkara yang seharusnya dilakukan oleh manusia.
Terdapat ramai ahli falsafah yang hebat dan antara salah seorang daripadanya ialah Rene Descartes. Idea beliau telah mencetuskan gelombang menggunakan akal fikiran dalam mencapai pengetahuan dan menolak ajaran-ajaran gereja Kristian yang kononnya berpegang kepada wahyu. Beliau juga mencari titik pangkal yang pasti dalam pemikiran dan pengetahuan manusia, khusus dalam ilmu alam. Metod untuk memperoleh kepastian ialah meragukan segala sesuatu mengikut kaedah beliau, iaitu ‘aku berfikir, maka aku ada’. Dalam mencari proses kebenaran sepatutnya kita menggunakan idea-idea yang jelas dan tajam. Sejak lahir setiap orang dilengkapi dengan idea-idea tertentu, khusus mengenai adanya Tuhan dan Matematik. Pandangannya tentang alam bersifat mekanistik dan kuantitatif.




2.1       LATAR BELAKANG (RENÉ DESCARTES 1596-1650)
René Descartes dikenali sebagai ‘bapa falsafah moden’. Beliau juga merupakan seorang ahli falsafah Perancis, ahli Matematik, dan penulis yang menghabiskan masa mudanya di Republik Belanda. Beliau dihormati kerana telah mempunyai sistem koordinat Cartes yang digunakan dalam satah geometri dan algebra yang dinamai sempena namanya. Beliau dilahirkan pada 31 Mac 1596 di sebuah bandar kecil bernama La Haye, di Touraine, Perancis.
Keluarga beliau adalah daripada golongan bangsawan. Ayah beliau bernama Joachim, bekerja sebagai peguam dan ahli majlis Parlimen British. Ibu beliau pula bernama Jeanne Brochard. Ibunya telah meninggal dunia ketika beliau berusia satu tahun kerana menghidap penyakit tuberculosis. Beliau telah mewarisi tanah ayahnya dan telah melaburkan tanah tersebut dengan keuntungan enam atau tujuh ribu setahun.
Pada tahun 1612M, beliau telah berpindah ke Perancis. Beliau merupakan seorang yang taat dalam mengerjakan ibadah menurut ajaran Katholik, tetapi beliau juga menganut bid’ah-bid’ah Galileo yang pada waktu itu masih ditentang oleh tokoh-tokoh gereja. Hal ini demikian terbukti di dalam bukunya yang bertajuk La Monde yang mana beliau memaparkan di dalamnya dua pemikiran bid’ah Rotasi bumi dan keterhinggaan alam semesta.
 Beliau juga telah meninggal dunia pada 11 Februari 1650 di Stockholm, Sweden. Kira-kira 40 tahun selepas kematiannya, Isaac Newton menerbitkan hasil kerja fiziknya yang terkenal.

2.1.1    Pendidikan
René Descartes ialah seorang yang mempunyai minda yang cerdas. Beliau merupakan seorang yang gemar menuntut ilmu meskipun belum menjejakkan kaki di alam persekolahan. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Jesuit Royal College yang terletak di sebuah kampung bernama La Fléche, iaitu tempat beliau menerima asas dalam falsafah Aristotle-Scholastic. Jesuit Royal College ialah hasil gabungan antara sekolah menengah dan universiti. Di kolej ini, Descartes telah diletakkan di bawah pengawasan seorang Rektor Kolej bernama Father Etienne Charlet yang juga merupakan seorang pendidik yang dihormati dan mempunyai hubungan persaudaraan dengan Descartes. Charlet juga telah menjadi bapa kedua kepada Descartes.

Descartes telah menghabiskan masa selama 8 tahun untuk menyesuaikan diri dengan suasana di kampung La Fleche. Dalam tempoh 5 tahun pertama, beliau mempelajari bahasa dan kesusasteraan klasik yang telah membuatkan beliau menjadi fasih dalam bahasa Latin. Selepas itu, dalam baki tiga tahun berikutnya pula, beliau menyambung pelajaran dalam bidang ilmu falsafah yang meliputi asas yang kukuh mengenai logik deduktif dan etika Aristotle, teori saintifik Aristotle, dan metafizik Aristotle dan Thomas Aquinas sebagaimana yang ditafsirkan oleh ahli-ahli teologi Jesuit Royal College.
Descartes kemudiannya telah jatuh cinta dengan falsafah dan mengandaikan bahawa hidup tanpa falsafah adalah seperti hidup dengan mata yang tertutup.
‘To live without philosophizing is to live with closed eyes.’
                                                                                                (Descartes 1971)
 Selain itu juga, Descartes ditakdirkan mempunyai banyak masa bersendirian untuk mengulangkaji pelajaran dan berfikir mengenai dunia yang dilaluinya ketika tinggal di kampung La Fleche. Memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik, beliau dibenarkan untuk mendapat keistimewaan, iaitu tidak perlu bangun awal pagi sepertimana para pelajar lain. Beliau juga telah dibenarkan oleh pihak kolej untuk berada di atas katil sehingga waktu tengah hari.
Bagi memastikan dirinya tidak terlajak tidur, Descartes telah mendisiplinkan dirinya supaya bangun di awal pagi. Beliau telah menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik dengan mengulangkaji pelajaran, membuat nota, dan membuat refleksi (berfikir). Pada kebiasaanya, Descartes menghabiskan masa selama 10 hingga 14 jam di atas katil pada setiap malam. Perkara ini telah menjadi rutin amalan sepanjang hidupnya.
            Selepas menghabiskan masa selama 8 tahun belajar di La Fleche, Descartes merasakan bahawa beliau tidak menemui perkara yang dicarinya selama ini, iaitu kepastian. Beliau merasakan bahawa pendidikan berdasarkan falsafah Aristotle yang diterimanya tidak dapat memberikannya kepastian. Guru-guru dan para pelajar juga sering berdebat ketika menghadapi masalah, namun perdebatan tersebut tidak memberikan jawapan yang pasti.


Beliau mendapati bahawa keinginannya yang sangat kuat untuk mendapatkan kepastian hanya menyebabkannya bertambah tidak pasti lagi. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk meninggalkan Jesuit Royal College dan menyambung pelajarannya di University of Poiters. Beliau memperolehi ijazah dalam bidang undang-undang sivil dan undang-undang kitab suci.
Selepas meninggalkan universiti pada tahun 1616, beliau telah mengembara ke Eropah sebagai sukarelawan pertama Belanda. Beberapa tahun kemudiannya, beliau berkhidmat sebagai tentera Bavaria. Pada tahun 1618 pula, beliau menjadi mesra dengan seorang saintis Belanda yang bernama Isaac Beeckman, iaitu orang yang telah banyak mempengaruhi beliau dalam melakukan kerja yang kreatif dalam Matematik dan Fizik.

3.1       FALSAFAH
René Descartes sering dianggap sebagai pemikir pertama yang menekankan penggunaan sebab untuk membangunkan sains semulajadi. Beliau menganggap bahawa falsafah ialah satu sistem pemikiran yang terkandung segala ilmu. Beliau juga menyatakan bahawa ‘semua falsafah adalah seperti pokok, yang mana Metafizik ialah akar, Fizik ialah batang, dan semua bidang sains lain yang tumbuh daripada batang ini telah dibahagikan kepada tiga bidang, iaitu Perubatan, Mekanik, dan Etika.’
3.1.1    Cogito Ergo Sum (Metode Cogito)

Descrates telah melahirkan satu teori yang bernama Cogito Ergo Sum yang bererti ‘aku berfikir maka aku ada’. Teori ini terhasil disebabkan beliau amat gelisah kerana tidak yakin dalam menerima ilmu positif renaissance. Oleh itu, untuk memperolehi kebenaran yang pasti, Descrates telah mencipta teori tersendiri. Hal ini terjadi kerana Descrates berpendapat bahawa dalam mempelajari falsafah memerlukan teori tersendiri agar hasil-hasilnya benar-benar logik. Dalam cogito, kesedaran diri sendiri, berfikir, dan kewujudan digabungkan bagi memperoleh kebenaran yang tidak boleh diragukan lagi.
Cogito dianggap secara rasmi sebagai aktiviti pemikiran. Idea-idea yang terlibat dalam cogito adalah luar biasa yang jelas dan nyata. Namun begitu, idea juga boleh dipertimbangkan secara objektif. Menurut Descrates, hubungan antara idea-idea akan menghasilkan kebenaran apabila ianya sesuai dengan cara hidup dunia sebenar.

Cogito bermula daripada kaedah kesangsian. Kaedah kesangsian ini dijalankan secara keseluruhan. Kesangsian ini harus meliputi seluruh pengetahuan yang dimiliki, termasuk juga kebenaran-kebenaran yang sampai kini dianggap pasti. Oleh itu, jika terdapat suatu kebenaran dalam kesangsian, maka itulah kebenaran yang pasti dan harus dijadikan sebagai bukti bagi seluruh ilmu pengetahuan.
Melaui kaedah ini, Descrates tidak dapat meragui bahawa dia sedang berfikir. Ini bermakna beliau sedang menggunakan kaedah Cogito ergo sum, iaitu aku berfikir maka aku ada (I think, therefore I am). Inilah kebenaran yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Mengapakah kebenaran ini dikatakan pasti? Hal ini demikian kerana ianya jelas dan nyata. Oleh itu, inilah yang dikatakan satu kebenaran.
Dalam pada itu, Descartes menggunakan metod pemikiran kritis melalui keraguan dengan kesangsian, iaitu dengan meragukan segala perkara yang boleh diragukan. Di samping itu, Descartes juga menegaskan bahawa kaedah lain seperti empirisme rasional. Kaedah ini menggabungkan segala keuntungan daripada logik, dan analisa geometri. Analisa geometri ialah ilmu yang menyatukan semua disiplin ilmu dalam nama ilmu pasti.
            Dalam langkah tertentu, kebolehpercayaan idea-idea kita boleh bergantung kepada sumber dari mana ia diperolehi. Descrates memutuskan bahawa hanya terdapat tiga kemungkinan, iaitu semua idea kita adalah sama ada kebetulan (memasuki minda dari dunia luar) atau tiruan (yang dikeluarkan oleh minda sendiri) atau semulajadi (tertulis pada fikiran oleh tuhan). Namun begitu, manusia belum tahu wujudnya dunia luar dan manusia boleh mambayangkan apa-apa sahaja. Jadi, segala-galanya bergantung sama ada Tuhan itu wujud atau manusia menipu.
Disebabkan Descrates masih mengalami keraguan, beliau mesti mencari kebenaran yang sebenar. Oleh yang demikian, beliau telah membawa beberapa idea. Menurut beliau, dalam diri kita terdapat tiga idea bawaan sejak kita dilahirkan lagi, iaitu Tuhan, keluasan dan pemikiran. Dalam ideanya yang pertama, iaitu dalam diri kita sudah terdapat Tuhan. Bagi membuktikan bahawa Tuhan sememangnya wujud, titik permulaan Descartes ialah mengemukakan seberapa banyak bukti.  Oleh kerana idea Descrates, iaitu tuhan mempunyai kandungan idea yang tidak terhad, punca idea sendiri mestilah tidak terbatas dan hanya Tuhan yang sedia ada. Dalam erti kata lain, idea Tuhan tidak boleh sama ada kebetulan atau tiruan kerana Descartes tidak dapat merasai Tuhan secara langsung dan tidak mengetahui konsep kesempurnaan dalam diri beliau. Oleh itu, ianya mestilah semula jadi yang diberikan oleh Tuhan dan Tuhan itu wujud.
Sebagai sandaran kepada hujah ini, Descartes mengemukakan hujah versi tradisional dan hujah kosmologi bagi menerangkan kewujudan Tuhan. Melalui kaedah Cogito, Descartes mengetahui bahawa beliau wujud dan kerana beliau tidak sempurna dalam setiap cara, maka Descartes menyimpulkan bahawa selain Tuhan,ada dua perkara, iaitu jiwa yang hakikatnya ialah pemikiran dan material yang hakikatnya  adalah keluasan.
Bagi menerangkan idea bawaan Rene Descartes yang kedua iaitu terdapat keluasan dalam diri manusia sejak kita lahir ialah beliau telah menyaksikan adanya dunia di luar. Beliau mengalami banyak kesulitan untuk membuktikan kewujudannya. Bagi Descrates, satu-satunya alasan untuk menerima adanya dunia material ialah dengan mengeluarkan hujah bahawa “Tuhan akan menipu saya sekiranya Tuhan memberi saya idea, sedangkan di luar tidak ada sesuatu pun yang sesuai dengannya”. Oleh yang demikian, kewujudan keluasan yang sempurna yang ada di luar tidak akan ditemui. Hal ini bermaksud ada dunia material lain yang kewujudannya tidak diragukan,bahkan sempurna.
Dari sudut lain pula, Descartes memandang manusia juga sebagai makhluk dua litas. Manusia terdiri daripada dua perkara, iaitu jiwa dan tubuh. Jiwa ialah pemikiran manakala tubuh ialah keluasan. Sebenarnya, tubuh tidak lain daripada satu mesin yang dijalankan oleh jiwa. Hal ini demikian kerana setiap perkara yang satu sama sekali terpisah dari perkara yang lain. Sudah nyata bahawa Descrates menganut suatu dualism tentang tubuh atas jiwa dan sebaliknya, pengaruh jiwa atas manusia. Itulah sebabnya, Descrates mempunyai banyak kesulitan untuk mengertikan pengaruh tubuh. Satu kali ia mengatakan bahawa kontrak antara tubuh dan jiwa berlangsung dalam grandula pinealis (sebuah kalenjar kecil yang terletak di bawah otak kecil). Namun begitu, akhirnya pemecahan ini tidak memadai bagi Descrates sendiri.
3.1.2    Sifat Minda dan Ideanya
Descartes menanyakan tentang ‘apakah saya?’. Selepas membuang tradisi Aristotle tentang konsep manusia sebagai haiwan yang waras, beliau membuat kesimpulan bahawa dia ialah sesuatu yang berfikir: sesuatu benda yang meragui, memahami, membenarkan, menafikan, mahu, tidak mahu, dan juga mempunyai pandangan. Descartes memperkenalkan persepsi yang bijak untuk memiliki pemikiran yang sihat manakala gambaran dan pancaindera merupakan daya minda yang bergabung dengan badan. Jadi, gambaran dan deria ialah daya minda yang paling lemah berbanding fikiran, tetapi memerlukan badan untuk menjalankan fungsinya. Kemudiannya, Descartes mendakwa bahawa minda ataupun ‘saya’ bukanlah suatu benda yang berkembang. Oleh itu, ‘apakah saya?’ ialah pemikiran yang tidak penting dengan daya kebijaksanaan.
Penting untuk diketahui bahawa minda ialah bahan dan kaedah pemikiran bahan itu ialah ideanya. Bagi Descartes, ‘bahan’ ialah perkara yang tidak memerlukan apa-apa untuk wujud. Hal ini demikian menunjukkan bahawa hanya Tuhan yang mewujudkannya, tetapi istilah ‘bahan’ boleh digunakan untuk makhluk dalam erti kata yang sepatutnya. Minda ialah bahan yang diperlukan oleh mereka melainkan dengan persetujuan Tuhan untuk mendapatkannya. Namun begitu, idea ialah ‘kaedah’ dan ‘jalan’ untuk berfikir dan kaedah juga bukanlah suatu bahan, kerana ianya merupakan idea fikiran dan lain-lain. Oleh itu, idea yang diperlukan bukan sahaja memerlukan persetujuan Tuhan, malah memerlukan buah fikiran untuk mendapatkannya.
Hujah ini mengemukakan tiga isi utama. Pertama, semua kehebatan termasuk dalam pertimbangan, iaitu dari segi mental. Hal ini demikian kerana semua kehebatan adalah dalam kematangan fikiran, mental, dan ‘semakin banyak sifat yang dijumpai dalam benda atau bahan, semakin jelas pengetahuan kita tentang sesuatu bahan’. Berdasarkan prinsip ini, minda lebih dikenali berbanding badan kerana ianya merupakan idea tentang mental dan lebih diperlukan daripada anggota badan. Kedua, ianya juga menunjukkan bahawa minda dan idea tidak berubah dari segi kepanjangan, keluasan, dan kedalaman yang tidak dapat dirasai oleh pancaindera tetapi boleh dirasai oleh minda sahaja. Ketiga, Descartes mencuba untuk menjauhkan pembacanya daripada kepercayaan deria gambaran sebagai sumber pengetahuan. Orang ramai perlu menjadi biasa untuk memikirkan sesuatu tanpa gambaran supaya lebih jelas dalam memahami benda atau menggambarkan sesuatu seperti Tuhan dan minda. Oleh itu, bagi Descartes, minda lebih perlu dikenali kerana ianya merupakan sumber pengetahuan yang terbaik.
4.1       KARYA PENULISAN
René Descartes telah menulis beberapa buah buku terkenal yang diterbitkan sama ada semasa beliau hidup ataupun setelah kematiannya. Pada tahun 1628-1629, beliau telah menghasilkan karya yang berjudul Rules for the Direction of the Mind, satu risalah metodologi yang ditulis dalam bahasa Latin dan tidak pernah selesai. Walau bagaimanapun, tulisan tersebut hanya diterbitkan sebagai buku setelah kematiannya.
Pada tahun 1634, beliau telah menyelesaikan tulisannya yang berjudul The World, iaitu satu sistem saintifik dan diterbitkan selepas kematiannya juga. Pada tahun 1637 pula, beliau telah menulis buku berjudul Discourse on Method, Optics, Geometry, and Meteorology yang diterbitkan dalam bahasa Perancis. Buku ini mengandungi ringkasan kehidupan dan pendidikan René Descartes bersama-sama dengan ringkasan falsafahnya dan kedudukan saintifik.

Pada tahun 1641, Descartes telah menerbitkan karyanya yang agung berjudul Meditations Concerning First Philosophy dan Objections and Replies. Buku-buku ini diterbikan dalam bahasa Latin; bantahan yang dikumpul oleh Mersene daripada pelbagai ahli falsafah dan ahli-ahli teologi di atas permintaan Descartes. Pada tahun 1644 pula, Descartes menerbitkan buku berjudul Principles of Philosophy yang ditulis dalam bahasa Latin. Bahagian I buku ini menjelaskan kedudukan umum falsafah Descartes manakala bahagian II, III, dan IV buku ini sebahagian besarnya menjelaskan ‘semua fenomena alam’.
Pada tahun 1647, beliau telah menghasilkan Notes Against a Certain Program. Karya ini merupakan pandangan anti-Cartesan yang diterbitkan oleh seorang bekas pengikut, Regius. Walaupun karya ini bukan satu kerja yang utama, namun ianya mengandungi kenyataan-kenyataan penting dan kerap disebut dalam topik utama lain. Karya terakhir yang ditulis oleh Descartes dalam hidupnya ialah The Passions of the Soul yang ditulis dalam bahasa Perancis. Karya ini adalah berkaitan dengan fisiologi emosi, dan kawalan rasional nafsu,
Dua sumber tambahan yang penting kepada falsafah Descartes ialah The Search for Truth dan Conservation with Burman. Ianya merupakan satu dialog yang belum selesai di Perancis dan diterbitkan selepas kematiannya. Para sarjana bersetuju bahawa sebahagian besar daripada kerja-kerja ini telah dipelihara hanya dalam terjemahan Latin. Conservation with Burman terdiri daripada nota Frans Burman pada temu bual panjang dengan falsafah Descartes yang berlaku pada tahun 1648.
4.1.1    Discourse on Method (1637)
Karya ini telah diterbitkan dalam bahasa Perancis pada tahun 1637. Nama penuh karya ini ialah Discourse on the Method of Rightly Conducting One’s Reason and of Seeking Truth in the Sciences. Karya ini lebih dikenali sebagai sumber petikan yang terkenal, iaitu ‘I think, therefore I am’. Ianya juga merupakan karya yang paling berpengaruh dalam sejarah falsafah moden, dan penting kepada evolusi sains semula jadi.
            Dalam karya ini, Descartes menangani masalah keraguan yang sebelum ini telah dikaji oleh Sextus Empiricus, Al-Ghazali, dan Michel de Montaigne. Beliau telah mengubahsuainya untuk mengambil kira kebenaran yang didapati tidak dipertikaikan. Descartes telah memulai pemikirannya dengan meragui segala-galanya untuk menilai dunia dari perspektif yang baru dan menjelaskan segala tanggapan yang terdahulu.
            Buku ini pada asalnya diterbitkan di Leiden, Belanda. Kemudian, ianya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan pada tahun 1656 di Amsterdam. Buku ini merupakan pengenalan kepada tiga kerja, iaitu Dioptrique, Météores and Géométrie.LaGéométriemengandungi pengenalan pertama Descartes dalam sistem koordinat Cartesian manakala Meditations Concerning First Philosophy, Principles of Philosophy, danRules for the Direction of the Mindpula bersama-sama membentuk asas Epistemologi yang dikenali sebagai Cartesianisme.
            Dalam buku ini juga, Descartes telah meletakkan matlamat hidupnya, iaitu mengarahkan akalnya secara sistematik untuk mencari kebenaran dan menghapuskan kesalahan. Descartes telah menjelaskan kaedah pemikiran beliau walaupun melalui masalah yang paling sukar. Beliau menggambarkan perkembangan kaedah ini melalui lakaran autobiografi ringkas diselangi dengan hujah-hujah falsafah.
            Bahagian 1 dalam karya ini mengandungi pelbagai perkara yang berkaitan dengan sains. Hal ini demikian kerana setiap orang mempunyai ‘deria yang baik’, iaitu keupayaan untuk membezakan kebenaran daripada fakta. Oleh itu, ianya bukan satu kekurangan keupayaan yang menghalang seseorang, tetapi kegagalan mereka untuk mengikuti jalan pemikiran yang betul. Penggunaan sesuatu kaedah boleh meningkatkan minda dan Descartes menganggap dirinya seorang pemikir biasa yang menjadi lebih baik dengan menggunakan kaedah beliau. Descartes telah mendapat pendidikan di peringkat yang lebih tinggi, namun beliau percaya bahawa buku pelajaran juga mempengaruhi pemikirannya.
Dalam bahagian 2 buku ini, Descartes mendapat idea tentang kerja secara individu adalah lebih baik daripada mereka yang berfikir secara kelompok kerana kerja individu mengikut satu perancangan dengan semua elemen pekerjaan ke arah yang sama. Beliau beranggapan bahawa Sains yang dipelajari mempunyai kecacatan kerana ianya terdiri daripada pelbagai idea manusia yang berbeza dari pelbagai era. Tersimpan dalam minda tentang perkara yang beliau pelajari mengenai logik, geometri, dan algebra, beliau telah menetapkan kaedah-kaedah berikut : (1) tidak percaya apa-apa melainkan beliau boleh membuktikannya sendiri; (2) mengurangkan setiap masalah kepada bahagian paling mudah; (3) sentiasa teratur dalam pemikiran beliau dan mara ke hadapan daripada bahagian yang mudah kepada bahagian yang paling susah; dan (4) apabila menyelesaikan masalah, sentiasa mencipta sebab dan tidak membiarkannya sahaja. Beliau mendapati bahawa kaedah ini berkesan dalam menyelesaikan masalah yang ditemui sangat sukar sebelum ini. Akibat takut salah faham sendiri yang mungkin boleh didapati melalui sebab yang kukuh, beliau bercadang untuk menghapuskan secara sistematik semua pendapat beliau yang salah dan menggunakan kaedah barunya secara ekslusif.
Bahagian 3 dalam karya ini, Descartes meletakkan empat kod sementara untuk hidup di samping memikirkan semula pandangan beliau: (1) untuk mematuhi peraturan dan adat resam negara dan agama dan tidak pernah mengambil pendapat yang melampau; (2) untuk menjadi tegas dan tetap dengan keputusan beliau walaupun terdapat beberapa keraguan; (3) cuba untuk mengubah dirinya, bukan dunia; dan (4) untuk memeriksa semua pekerjaan di dunia dan mencuba untuk mencari yang terbaik. Oleh itu, tidak hairan sekiranya Descartes mengenalpasti bahawa sebab dan pencarian kebenaran adalah sangat berguna. Bertahun-tahun selepas pendedahan itu, Descartes mengembara secara meluas dan mendapat nama baik untuk kebijaksanaan, kemudian bersara untuk mengkaji pemikiran beliau sendiri.
Dalam bahagian 4, Descartes menyatakan bukti-bukti kewujudan jiwa dan Tuhan. Setelah menimbang impian dan perasaan, Descartes menyedari proses pemikiran sendiri dan percaya ia adalah bukti kewujudannya: ‘Saya fikir, maka saya wujud’ (Cogito ergo sum). Beliau juga membuat kesimpulan bahawa jiwa berasingan daripada badan berdasarkan perasaan yang tidak dapat dilihat. Keraguan ini menyebabkan beliau percaya bahawa dia tidak sempurna, tetapi keupayaan untuk berfikir tentang kesempurnaan menunjukkan bahawa semua perkara yang berlaku adalah berpunca daripada Tuhan, sebagaimana semua fikiran jelas dan nyata.
Bahagian 5 pula, Descartes beralih daripada perbincangan teori cahaya kepada teori tentang pengkajian struktur tubuh manusia. Descartes berpendapat bahawa haiwan mempunyai banyak organ yang sama seperti organ manusia, tetapi tidak mempunyai kuasa untuk bercakap atau sebab. Beliau mengambil kira perbezaan ini sebagai bukti bahawa manusia mempunyai jiwa yang rasional. Beliau juga menganggap terdapat sambungan misteri antara jiwa dan badan serta menyimpulkan bahawa jiwa mesti mempunyai kehidupan di luar badan. Oleh itu, jiwa tidak akan mati sekiranya badan mati kerana beliau tidak dapat memikirkan cara jiwa mati atau dibunuh. Hal ini memaksa beliau membuat kesimpulan bahawa jiwa adalah kekal dan abadi.
Bahagian 6 dalam karya ini pula, Descartes menyentuh konflik dengan gereja atas idea-idea beliau mengenai sains fizikal. Akhirnya, beliau dapat memohon pembaca supaya membaca dengan teliti, meminta maaf kerana menulis dalam bahasa Perancis dan bukannya bahasa Latin, dan berjanji untuk menjauhi popularity dan kekayaan dalam nama mengikut kebenaran dan pengetahuan.
Pendidikan Descartes adalah berdasarkan kepada model pemikiran Aristotle, yang berpendapat bahawa pengetahuan saintifik disimpulkan daripada kenyataan yang tetap. Model ini adalah berdasarkan silogisme, yang salah satunya bermula dengan kenyataan besar (kebaikan itu bagus) dan kenyataan kecil (baik hati ialah kebaikan), kemudian membuat kesimpulan daripada keduanya (baik hati itu bagus).
Prinsip moral Descartes pula menunjukkan kedua-dua kesangsian terhadap dunia material dan keyakinan dalam keupayaan fikiran beliau untuk mengatasinya. Beliau mempunyai kepercayaan untuk mengawal minda sendiri dan beliau juga percaya bahawa dia hanya perlu mengubahnya untuk menukar menjadi realiti. Jika dia mahu sesuatu yang dia tidak mampu, dia tidak akan berjuang untuk mendapatkan atau sengsara tidak mempunyai ia. Sebaliknya, beliau hanya membuat keputusan untuk tidak mahu. Resolusi Descartes untuk menjadi penonton dan bukannya seorang pelakon dalam peristiwa-peristiwa dunia di sekelilingnya berjumlah hampir kepada penolakan kewujudan fizikalnya. Lama selepas Descartes, kajian saintifik telah ditadbir oleh ideal pemerhatian berkembar yang didahulukan oleh Descartes.
Bahagian 4 dalam karya ini menjadi asas kepada karya beliau yang berikutnya, Meditations Concerning First Philosophy. Beliau juga menyatakan idea-idea utama beliau dalam karya ini, iaitu ‘diri ini wujud kerana ia berfikir dan Tuhan wujud kerana diri ini tidak sempurna’. Oleh itu, perlu ada satu sumber bagi idea kesempurnaan di luar diri. Hal ini adalah semata-mata lakaran penjelasan terperinci yang beliau nyatakan dalam Meditations Concerning First Philosophy.



RUJUKAN
Anthony Kenny. 1968. Descartes : A Study of his Philosophy. New York : Random House.

Bernard Williams. 1978. Descartes : The Project of Pure Enquiry. Britain : Redwood Burn Limited, Trowbridge & Esher.

Georges J.D. Moyal. 1991. René Descartes Critical Assessments (Volume IV). USA and Canada : A division of Routledge, Chapman and Hall, Inc.

James Collins. 1971. Descartes’ Philosophy of Nature. Oxford : Basil Blackwell.

Laurence J. Lafleur. 1961. René Descartes : Rules for the Direction of the Mind. United States of America : The Bobbs. Merrill.

R.J. Buttler. 1972. Cartesian Studies. Oxford : Basil Blackwell.

Stephen Gaukroger. 1980. Descartes : Philosophy, Mathematics, and Physics. USA : Barnes  and Noble Books.

Stephen Gaukroger. 1989. Cartesian Logic : An Essay on Descartes’s Conception of Inference. Oxford : Clarendon Press.

S.V. Keeling. 1934. Descartes.London : Ernest Benn.

Wilson, Margaret Dauler. 1978. Descartes.  London : Routledge & Kegan Paul.



Thursday 26 September 2013